Tuesday, February 16, 2010

Kursus Bersih & Cekap Pengendali Makanan

Kursus ini akan diadakan pada hari esok, Khamis 18 Februari 2010, bertempat di Bilik Seminar UUM COLGIS, Universiti Utara Malaysia. Penceramah untuk kursus ini adalah Puan Siti Aminah iaitu Pengurus Pema Asas Enterprise dan juga Pak Utih ( Ahmad Shafiai Uda Jaafar) seorang perunding motivasi yang terkenal. Semua peserta yang berdaftar dialu-alukan dengan ucapan Selamat Datang dan Selamat Berkursus.

Terima Kasih..

Monday, February 15, 2010

Rahsia Hubungan Pasangan Mengikut Urutan Dalam Keluarga

ORANG tua dulu diketahui memang banyak kepercayaan dan pantang larangnya termasuklah, dalam urusan mencari pasangan hidup. Percaya atau tidak orang tua dulu kebanyakan berpegang kepada konsep untuk mengetahui sifat mahupun ciri peribadi calon pasangan yang dipilih, perlulah diketahui kedudukannya dalam struktur keluarga.

Orang tua dulu percaya, urutan kelahiran boleh mempengaruhi perilaku seseorang dalam menjalin hubungan kasih sayang.Maka itulah ada yang amat yakin, anak sulung sebaik-baiknya tidak sesuai berkahwin dengan pasangan juga anak sulung. Alasan diberi, kedua-duanya mempunyai sifat dasar yang sama, setidak-tidaknya sifat manja dan keras kepala.

Begitu jugalah jika anak bongsu, elakkan mencari pasangan yang sama-sama bongsu dalam keluarga kerana kedua-duanya sukar mengawal situasi. Selain itu, jika anak bongsu bertemu anak tunggal, hubungan itu turut dikatakan, bakal bergejolak kerana kedua-duanya sama-sama memerlukan perhatian.

Bagaimanapun, sulung bertemu tunggal ada keserasian, tetapi anak sulung tidak boleh terlalu tegas. Kecenderungan anak tunggal yang manja bererti harus ada pengorbanan dan mesti fahami keadaan itu.

Pasangan sama kedudukan anak tengah pula dikatakan, sangat padan. Pasangan ini dapat pergi ke mana pun dan memutuskan apa saja yang mereka sukai. Apabila yang satu cenderung seperti anak sulung, pasangannya pula seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

Benar atau salah pandangan mahupun saranan orang tua dulu itu, tidaklah diketahui kebenarannya, tetapi ramai mengakui, persoalan ini sehingga kini masih menjadi bahan bicara. Namun, jika dihalusi ada kebenaran kerana lazimnya, untuk mengetahui karakter seseorang antara cara yang dapat dilihat adalah melalui urutan kelahiran, selain berdasarkan tarikh lahir.

Bagaimanapun, jika sudah ditakdirkan bertemu jodoh mampukah perasaan cinta dan kasih sayang itu diketepikan?

Kepercayaan sekadar satu panduan

Ahli psikologi Barat, Dr. Kevin Leman membuat huraian mengenai hubungan pasangan mengikut urutan dalam keluarga.

Terpulanglah kepada anda sama ada mahu percaya atau tidak:

Sulung dengan sulung

Berpeluang besar untuk sering bertegang urat. Masing-masing sentiasa suka berkeras ataupun dalam menentukan siapa pemberi dan penerima perintah. Jika hubungan cinta terjalin, ia memerlukan jiwa besar dan kesabaran dalam menjalani hubungan seperti ini.

Sulung – Tengah

Sudut negatif dari hubungan ini adalah kemungkinan berubahnya sikap si anak tengah untuk menyenangkan si sulung. Anak tengah adalah pasangan yang serasi untuk siapa saja. Meskipun begitu, ia sering kali menganggap si sulung sebagai yang suka menggertak dan menakutkan.

Jika anak tengah berpasangan dengan anak sulung, maka sering kali ia harus merelakan keinginan dan impiannya demi pasangannya. Namun, jika si tengah cenderung bersikap seperti anak bongsu, mereka dapat menjadi pasangan yang cukup serasi.

Sulung – Bongsu

Kombinasi paling serasi. Si sulung dapat mengajarkan pasangannya, untuk bertindak lebih teratur dan dewasa, terutama saat menghadapi masalah serius. Sementara, si bongsu dapat seimbangkan sikap serius si sulung dengan mengajaknya bersantai atau sekadar duduk sambil berkhayal mengenai masa depan.

Tengah – Tengah

Pasangan ini dapat pergi ke manapun dan memutuskan apapun yang mereka sukai. Mereka dapat menjadi sangat serasi, apabila yang satu cenderung seperti anak sulung dan pasangannya seperti anak bongsu. Dengan begitu, mereka berdua dapat saling melengkapi.

Namun, anak tengah biasanya suka menyimpan rahsia. Hal ini tentu dapat menjadi halangan serius dalam berkomunikasi. Bagaimanapun, masalah akan mudah dan cepat selesai kerana mereka pandai berkompromi dan menjunjung tinggi perdamaian.

Tengah – Bongsu

Hubungan ini akan berjalan lancar, bila si anak tengah cenderung bersikap seperti anak sulung. Jika anak tengah menunjukkan ciri sejati, maka ia akan terbawa-bawa gaya si bongsu yang lebih santai dan suka mengikut kehendak diri sendiri. Ini berlaku, terutama apabila anak tengah ini adalah pihak perempuan.

Bongsu – Bongsu

Berhati-hatilah! Bersama pasangan yang seirama memang menyenangkan. Namun bila tidak melihat kenyataan, kamu akan sulit untuk mengawal situasi.

Rahsia Dari Al-Quran Bagaimana Menjadi Jutawan

Pada masa sekarang ini terlalu banyak “spamming” tentang tips atau panduan untuk jadi kaya atau jutawan di emel. Sebenarnya, di dalam Al-Quran terdapat satu RAHSIA bagaimana anda boleh menjadi JUTAWAN. Berikut adalah ringkasannya:

Mahmud Ibn Labid r.a. berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab.”

Namun jika anda ingin menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38:

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

“(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.”

Maksudnya, dengan sentiasa mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat serta sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia dan balasan yang paling baik dari Allah. Sesungguhnya Allah pemberi segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya, kerana panduan untuk menjadi jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Bacalah tafsir Al-Quran yang harganya anggaran RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah hadith qudsi,
“Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu”

Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi ingin gaya hidup sederhana, selesa, tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”

Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan wang segera untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha. Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Kebanyakkan yang mengamalkan tips ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan bersederhana. Mereka tidak kelam kabut dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.

Wallahu’alam.